Friday, 14 September 2012

Tips menghadapi peperiksaan


Assalamualaikum.
Seperti kebiasaan, kita sambung terus. Heheh..

Pertama - Mengulangkaji pelajaran.
Ya, tidak dinafikan lagi memang benar, jika kita tidak bersedia kita akan merasa gementar lebih-lebih lagi jika kita belum lagi mengulangkaji pelajaran. Tentu perasaan gementar muncul apabila merasakan ilmu masih belum cukup. Kerana itu awak tidak digalakkan untuk belajar disaat-saat akhir. Pastikan adik-adik selesai mengulangkaji pelajaran beberapa hari sebelum peperiksaan bermula. Belajar dan fahami, bukan belajar semata-mata untuk menghafal ya! Gunakan baki hari yang ada untuk menyemak nota-nota kecil untuk menguatkan lagi ingatan awak.

Kedua - Buat persediaan awal.
Apa yang akan berlaku jika tiba-tiba ketika menjawab soalan peperiksaan, pensil awak tumpul tetapi tiada pengasah pensel? Tentu adik kelam-kabut meminjam dari rakan bukan? Tentu sekali pada ketika itu awak akan merasa gementar, awak akan berdebar. Jadi apakah kesannya kepada diri awak? Awak akan “blank”! Perasaan gementar tadi akan mempengaruhi diri membuatkan awak lupa sebentar tentang peperiksaan yang diduduki. Perkara ini perlu dielakkan.
Pastikan awak menyediakan alatan yang secukupnya beberapa hari sebelum peperiksaan bermula. Periksa dan pastikan slip peperiksaan ataupun alat-alat yang perlu dibawa ada bersama awak pada malam sebelum peperiksaan bermula. Barulah awak boleh menjawab dengan tenang 

Ketiga - Tidur awal dan rehat secukupnya. 
Rehat yang secukupnya adalah penting bagi pelajar kerana berfikir memerlukan penggunaan tenaga yang tinggi. Jadi jika tubuh awak lemah dan tidak bertenaga, keupayaan awak untuk melontarkan buah fikiran ataupun menjawab soalan peperiksaan akan terjejas. Pada malam peperiksaan, adik-adik harus tidur awal. Elakkan dari bersukan sehari sebelum peperiksaan kerana dikhuatiri awak akan terlalu penat sehingga mengganggu keupayaan awak untuk menjawab peperiksaan.

Keempat - Semak jadual betul-betul
Adalah sangat-sangat penting bagi adik-adik untuk menyemak jadual peperiksaan sebaik mungkin. Jangan tersilap! Ini kerana masalah akan timbul dari segi persediaan awak untuk menjawab peperiksaan. Kadangkala waktu peperiksaan tidak sama menyebabkan awak terlepas dari menduduki peperiksaan tersebut. Bagi mengelakkan kekeliruan pastikan awak tanya pada guru awak dan periksa jadual yang diberi bersama rakan bagi memastikan awak tidak tersilap.

Kelima - berdoa dan bertawakal.
Akhir sekali, kita hanya mampu merancang tuhan yang menentukan. Selepas kita berhempas pulas belajar, apa yang awak perlu lakukan adalah bertawakal kepada Allah dan sentiasa berdoa untuk kejayaan diri awak. Pastikan adik-adik mendoakan kejayaan rakan-rakan yang lain juga. Jika adik-adik tidak mendapat apa yang diinginkan apabila mengambil keputusan nanti, bersyukur sahaja atas apa yang adik dapat. Kerana walau apapun keputusannya, ianya adalah anugerah dari Allah. Yang penting bagi kita umat Islam adalah jangan buruk sangka pada Allah, setiap apa yang Allah lakukan kepada kita ada sebabnya. Ada hikmah disetiap kejadian yang berlaku.

Copy+paste : Innovology 
Sekian..
Assalamualaikum. :)

Shining the Lightning
Syahirah Suhanna

@captainsuhanna

No comments:

Post a Comment